` POLIGAMI’ Isu ini amat hangat diperkatakan tanpa mengira status, sosial mahupun jantina. Kaum lelaki dengan yakinnya perjuangkan hukum ini untuk menjadi penyelamat kepada wanita- wanita yang belum berkahwin, manakala kaum wanita pula perjuangkan hak mereka agar tidak dimadu. Para penceramah bebas juga ada yang gemar menyampaikan ceramah mereka tentang ganjaran payung emas kepada isteri yang rela berkongsi kasih.
Walau apapun yang cuba diketengahkan dalam isu ini. Hukum berpoligami yang telah ditetapkan Allah tidak seharusnya dikucar kacirkan kerana itu hanya akan menjadi senjata bagi musuh Islam. Hukum yang telah disyariatkan dengan cantik oleh Allah telah disalah guna oleh sesetengah orang. Ini menjadikan imej Islam dimata kaum yang lain seolah-olah mengenepikan hak wanita.
“Siapa yang tidak ingin berkahwin? Kahwinkan sunat…Poligamikan sunnah Rasul ” Ini adalah antara ayat yang paling popular dikalangan kaum lelaki. Sinisnya individu yang bertanggapan demikian telah menunjukkan kejahilan. Betulkah hukum berkahwin sunat semata dan adakah poligami yang diamalkan dewasa ini mengikut sunnah Rasul…?
Perkahwinan merupakan fitrah manusia namun hukum berkahwin terbahagi kepada 5 iaitu
i. Wajib sekiranya mempunyai kemampuan dan takut tercebur ke lembah maksiat.
ii. Haram sekiranya tidak mampu menanggung nafkah dan bersikap adil terhadap isteri.
iii. Makruh sekiranya bimbang tidak dapat menunaikan tanggungjawab dan bersikap baik
terhadap isteri.
iv. Sunat sekiranya mampu dari segala segi dan dapat menahan diri dari melakukan maksiat. Yakin tidak zalim terhadap isteri. Perkahwinan hanya sebagai benteng zina atau mendapatkan zuriat.
v. Harus sekiranya mampu menanggung perbelanjaan rumahtangga tetapi mampu mengawal diri dari melakukan maksiat sekiranya tidak berkahwin.
Poligami yang dikatakan mengikut sunnah Rasul juga menunjukkan kita amat cetek mengenai hukum. Hukum poligami tidak sama seperti perkahwinan biasa kerana ianya hanya terbahagi kepada 3 iaitu :
i. Sunat :
a) Suami amat kuat syahwat serta mampu berlaku adil zahir dan batin, hati dan perasaan.
a) Suami amat kuat syahwat serta mampu berlaku adil zahir dan batin, hati dan perasaan.
b) Isteri mempunyai penyakit tertentu dan tidak dapat melahirkan zuriat.
ii. Makruh : Suka dan setakat ingin berseronok sedangkan tidak mampu berlaku adil.
iii. Haram : Tidak mampu berlaku adil, kurang dari segala segi sama ada ekonomi dan
sebagainya.
sebagainya.
Sudah terang lagi bersuluh, sudah jelas lagi terbukti. Hukum yang disyariat cantik tidak pernah dihiraukan dalam masyarakat dewasa ini hanya kerana ingin memenuhi tuntutan nafsu muda yang suka jatuh cinta sekali lagi. Malah dikalangan bijak pandai sering memanipulasi isu ini dengan menyatakan kaum wanita sebagai penentang hukum dan terlalu tamak untuk berkongsi kasih. Ironiknya realiti yang kita lihat dewasa ini, kaum lelaki yang dijadikan pagar sebagai pelindung semakin tamak tanpa pernah cukup setakat mendapat 1 kasih sayang, malah ada yang ingin 2,3 dan 4.
Kata-kata ingin berpoligami adalah sebagai penyampai amanah dan meneruskan legasi Rasulullah adalah ayat yang klise semata. Jangan cacatkan hukum ini sekiranya hati tidak dapat dikawal. Kerana hati yang sedang mabuk cinta amat sulit untuk berlaku adil. Kasih sayangnya lebih tertumpu kepada isteri baru tersebut. Meskipun zahirnya adil namun hati dan perasaan sukar diduga. Hanya segelintir sahaja yang mampu adil meliputi zahir, hati dan perasaan. Justeru, kemudahan yang dilaksanakan dalam kehidupan kita hari ini sudah tidak selaras lagi dengan pensyariatan hukum tersebut.
Sedar tak sedar kekerapan kita membincangkan topik ini dan sering menghangatkan perbicaraan tanpa menerangkan konsep dan syaratnya dengan jelas telah menjejaskan imej Islam di peringkat local mahupun global. Kepincangan ini telah menghalang kaum yang lain dari berjinak-jinak dengan Islam dan ini amat menjejaskan aktiviti dakwah.
Renungilah… Hukum Allah telah jelas . Janji Allah tetap pasti. Nikmati kasih sayang Allah dengan kemudahananNYA . Sempurnakan hidup dengan syariatNYA.