Manjanya umat kita
Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap yang prihatin dan pemurah. Sebut sahaja memohon peruntukan derma untuk sebarang aktiviti amal atau bencana alam, pasti ramai yang menampilkan diri menghulur bantuan. Buktinya, di kaca televisyen kita dapat melihat individu atau syarikat tertentu memberikan bantuan bernilai ribuan ringgit. Mereka sempat merakamkan gambar dengan replika cek tersebut sebagai bukti atas sumbangan mereka. Malah ramai juga rakyat yang sempat bergambar untuk memasukkan wang derma tersebut ke dalam tabung yang disediakan.
Untuk membantu orang-orang yang kurang upaya dan berpendapatan rendah juga, TV3 atas bantuan beberapa penaja ada membuat satu rancangan khas untuk membantu individu berkenaan. Sekiranya kita melihat rancangan tersebut, hati kita pasti terusik dan terdetik “wau! betapa prihatin dan pemurahnya rakyat Malaysia.” Itulah yang sering dan sangat sinonim tentang rakyat Malaysia dewasa ini.
Namun dalam ketaksuban kita membantu mangsa bencana alam dan golongan kurang upaya, kita telah melupakan satu tempat yang amat penting iaitu Rumah Allah. Bila diperhatikan tidak ada yang peliknya tentang masjid ataupun surau. Aktiviti ibadah berjalan seperti biasa, tetapi cuba kita halusi bersama berapa keratkah aktiviti yang berjaya dilaksanakan di masjid-masjid atau di surau-surau dalam masa setahun. Sekiranya ada, pasti aktiviti yang telah dirancang itu akan menggunakan kos seminima mungkin. Ini berlaku kerana peruntukan yang diperolehi adalah amat terhad.
Aktiviti membaik pulih masjid dan surau juga agak lembap. Perkara ini jarang terjadi di bandar-bandar besar. Namun pandangan ini sudah sebati di masjid atau surau luar bandar. Semuanya terus menadah tangan mengharapkan bantuan dari kerajaan. Kenapa tidak umat Islam sendiri yang menghulur bantuan bagi kerja amal seperti ini. Bukankah rakyat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah dan keprihatinan mereka. Adakah yang pemurah dan prihatin itu hanya orang-orang tertentu sahaja ?
Tabung derma yang terletak di sudut masjid juga seperti terlalu usang. Kenapa tabung itu tidak semeriah seperti tabung bantuan ribut tsunami, tanah runtuh, banjir dan sebagainya? Jika difikirkan secara logik, penyumbang untuk tabung dalam masjid hanya tertumpu kepada pengunjung-pengunjung yang ingin menunaikan ibadah. Jadi tidak hairanlah isi yang terdapat dalam tabung di masjid hanya beberapa keping duit syiling, wang kertas rm1 dan sedikit rm10.
Apa pula penjelasan sekiranya kita bandingkan antara gereja dengan masjid. Pengunjung yang mengunjungi gereja juga datang untuk melakukan ibadat dan bukan datang untuk berderma. Bagaimanakah hasil kutipan di gereja jauh lebih banyak berbanding jumlah pungutan di masjid. Buktinya banyak gereja sudah mampu dikenali sebagai Gereja Mandiri sedangkan masjid atau surau masih terus bergantung peruntukan dari pihak berkuasa. Ke mana perginya individu yang sering menghulur derma di kaca televisyen itu. Adakah individu yang sering menderma itu bukan dari kalangan umat Islam atau umat Islam hanya akan menderma sekiranya mendapat publisiti. Atau adakah kita terlalu manja kerana Islam merupakan agama rasmi negara.
Sekiranya umat Islam lebih mementingkan nama dan publisiti daripada keikhlasan. Selama itulah umat kita tetap berada di takuk yang lama tanpa sebarang kemajuan. Andai inilah hakikatnya, baik kita promosikan tabung derma untuk masjid itu di kaca-kaca televisyen. Pasti berduyun-duyun datang menghulurkan bantuan. Bersama kita fikirkan…
Sekiranya diberi bantuan : “ Ini je?.”
Sekiranya diminta bantuan : “ Ini je yang ada.”
No comments:
Post a Comment