`Bagaikan katak di bawah tempurung’ Inilah yang sering diperkatakan oleh masyarakat pada zaman siber kini sekiranya tidak mampu untuk menggunakan pelbagai jenis kemudahan atas talian untuk berinteraksi . Ada yang mengatakan kita akan jauh ketinggalan sekiranya kita tidak mempunyai kemahiran atau kemampuan untuk berinteraksi secara atas talian. Contohnya tidak mempunyai laman facebook, twitter, skype, myspace dan sebagainya.
Cuba kita perhatikan, adakah laman sosial yang ada di internet pada masa kini sesuai atau tidak dengan pegangan dan akidah kita sebagai seorang muslim. Seharusnya kita lebih mengetahui bahawa pendedahan yang berlebihan atau `expose’ di internet boleh mendatangkan mudarat kepada kita. Jangan kerana terlalu mengikut kemajuan teknologi kita terlupa tentang hukum halal dan haram.
Tidak dinafikan internet amat berguna kerana dapat memudahkan urusan seharian kita. Namun berapa peratuskah pengguna yang menggunakan rangkaian internet sekadar memenuhi keperluan berbanding dengan pengguna yang membuang masa berinteraksi dalam laman sosial. Masyarakat sedia maklum laman pornotal menghidangkan aneka gambar yang tidak sesuai. Justeru bagi individu yang bermaruah pasti tidak akan melayari laman web tersebut. Namun dalam kita berusaha menjaga kesempurnaan diri, terselit juga sedikit kecacatan yang tersembunyi. Perkara inilah yang masih tidak disedari oleh ramai pengguna laman sosial.
Bersembang dengan rakan walaupun berlainan gender dalam masa yang lama akan mengakibatkan kita membuang masa dan telah lari dari ajaran Islam seperti yang disebut dalam surah al-Asr. Begitu juga dengan permainan `game online’ yang ada dalam rangkaian internet telah membuatkan ramai masyarakat terleka dan membuang masa. Walaupun terdapat segelintir yang menyedari perkara ini, tetapi peratusan yang masih ketagih dengan laman sosial tersebut masih terlalu banyak. Sebagai rekod laman facebook mempunyai lebih 5 juta orang pelayar di Malaysia pada masa kini.
Selain itu, kita juga begitu ghairah memuat naik gambar kita untuk tatapan umum. Tidak kira gambar bersama keluarga atau sendiri. Ramai yang tidak menyedari bahawa perbuatan tersebut akan mengundang dosa sekiranya memuat naik gambar tanpa kebenaran suami bagi yang sudah berkeluarga. Meskipun mendapat kebenaran, perbuatan tersebut tetap mengundang dosa kerana menjadi tatapan ramai lapisan masyarakat tidak kira jantina. Dalam situasi ini, pasti ramai yang akan melihat, merenung malah memuji sekiranya gambar itu menarik perhatian apatah yang yang berlainan jantina. Pastinya bagi pengguna yang belum berkeluarga akan berusaha memaparkan gambar dan posing secantik mungkin. Pada tahap itulah zina mata telah berlaku tanpa kita sedari walaupun kita cuba mempamerkan gambar yang menutup aurat.
Rentetan dari perkara itu, banyaklah hubungan sosial yang akan berlaku. Ada juga yang cuba berjinak-jinak ingin mengetuk kembali kisah lama yang pernah terjalin. Sejauhmana kita mampu mengawal diri mengelak perkara tersebut dari berlaku dan sekuat mana iman kita mampu memastikan hubungan yang akan terjalin berada dalam landasan Islam. Hanya kita sendiri yang memandu arah. Jangan kita butakan hati hanya disebabkan perkara duniawi.
Bagi pengguna yang telah mengetahui apa hukum atas semua tindakan tersebut, pasti tidak akan terlalu bergantung dengan laman sosial yang disediakan. Namun bagi yang belum menyedari perkara itu, bersama kita renungkan `dalam kesempurnaan pasti ada kecacatan, jaga diri hiasi peribadi’. Tepuk dada tanyalah iman . Gunalah akal dalam mentafsir era kemajuan teknologi dewasa kini.
No comments:
Post a Comment