Search This Blog

Thursday, 21 April 2011

I.S.L.A.M

Bumi hari ini sering disajikan dengan fenomena – fenomena yang begitu menyedihkan. Sana sini bencana alam berlaku dan meragut puluhan nyawa manusia di samping memusnahkan jutaan harta benda berharga. Kekecohan ini ditambah lagi dengan perlakuan manusia yang sengaja mengundang keburukan. Kerap terpampang dalam berita – berita utama tentang kekecohan yang dibuat oleh manusia itu sendiri. Fenomena luar biasa semakin menjadi kebiasaan kepada manusia .
            Peristiwa rusuhan yang terjadi di Mesir baru – baru ini telah membuka mata tentang satu kalimah iaitu Islam. Seperti yang sedia kita maklum, peristiwa rusuhan itu berlaku kerana ketidak puasan hati rakyat terhadap pemimpin mereka dan ingin menukar pucuk pimpinan negara. Namun betapa pedihnya telinga mendengar apabila rusuhan tersebut  disalahkan ke atas  orang – orang Islam. Orang Islam tidak bertamadun, orang Islam sukakan keganasan dan banyak lagi tentang keburukan orang Islam. Ingin sekali menegur pendapat mereka tentang perkara tersebut kerana apa yang berlaku hanyalah  ingin menukar pentadbir negara dan tidak ada kena mengena langsung dengan Islam.
            Namun apabila difikirkan, perkara itu berlaku dalam sebuah negara Islam dan secara tidak langsung orang Islam juga yang terlibat dalam rusuhan tersebut walaupun bukan 100% . Wajar atau tidak wajar, orang – orang Islam yang tidak terlibat terpaksa juga menahan telinga mendengar segala  hinaan kerana perkataan Islam itu membawa impak yang sangat besar.
            Rentetan dari peristiwa itu, ramai pelajar  Malaysia diarahkan untuk pulang ke Malaysia dengan kadar segera kerana dikhuatiri akan keselamatan mereka. Namun keprihatinan yang ditunjukkan oleh negara kita terhadap pelajar  tersebut tetap menjadi buah mulut orang. Ada yang tidak berpuas hati kononnya peruntukan untuk kebanyakan  jabatan kerajaan lambat diterima kerana duit yang sepatutnya  diterima telah disalurkan untuk membawa balik pulang pelajar tersebut. Ini semua terjadi kerana rusuhan dalam sebuah negara Islam.
Bingung…Bingung… Apa sebenarnya yang manusia mahukan. Jika berbuat baik disalah ertikan, namun jika ditimpa sesuatu kemalangan , tetap dipersalahkan. Manusia memang sukar untuk berpuas hati tetapi adakalanya kita sepatutnya harus mengerti.
            Berbalik kepada rusuhan yang berlaku, Islam dikaitkan sebagai sebuah agama yang radikal dan ekstrem. Mereka sering disamakan dengan perjuangan al-Maunah, al-Qaeda dan sebagainya. Malah pendapat yang kerap mereka laungkan ialah Islam berkembang di hujung mata pedang. Hakikat yang cuba mereka sembunyikan ialah peperangan adalah pilihan terakhir Rasulullah terhadap orang kafir yang tidak berhenti untuk menghapuskan umat Islam. Di samping orang kafir yang tidak ingin mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti membayar jizyah. Bukankah kafir ini terbahagi kepada dua iaitu kafir harbi dan zimmi.
            Malangnya pada hari ini, Islam atau tidak seseorang itu sudah tidak membawa banyak perbezaan. Ada yang Islam  hanya pada nama, hanya kerana keturunan dan tidak mengamalkan cara hidup Islam. Justeru, orang Islam yang benar- benar melaksanakan syariat Islam tetap terkena tempias atas sikap sesetengah yang lain hanya kerana sebuah kalimah Islam. Seandainya kita menyedari bahawa walau sekecil mana orang Islam itu melakukan kesalahan atau walau sekelumit Cuma orang Islam itu mengenepikan syariat Islam, namun agama Islam tetap menerima dampak yang amat besar. Walaupun ada juga yang berusaha untuk menghidupkan roh Islam itu, tetapi hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Justeru siapa yang harus bertanggungjawab terhadap situasi ini dan apa usaha kita untuk memulihkan pandangan negatif terhadap I.S.L.A.M
            Negara Islam bergolak,
            Orang Islam dipersalahkan,
            Orang Islam membuat onar,
            Agama Islam dicemuh.

No comments:

Post a Comment