Kaya yang kerap diperkatakan dalam masyarakat kita ialah kaya wang ringgit. Fenomena kaya segera terlalu pantas meresap ke dalam pentas kehidupan masyarakat kita. Orang kita boleh dikatakan amat mudah terpengaruh dengan kilauan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat tanpa menghirau daripada mana sumber keuntungan tersebut. Perkara halal dan haram menjadi pertimbangan kedua dalam hal ini. Akibatnya kehidupan yang aman boleh menjadi berantakkan dalam sekelip mata sahaja. Kerakusan nafsu yang gagal dibendung dalam mencari kekayaan telah menjadikan ramai manusia lupa tentang akidah, akhlak dan pegangan agama Islam yang suci. Kesannya masyarakat madani yang diimpikan selama ini hanya menjadi igauan sahaja.
Fenomena kaya segera ini juga telah mengakibatkan ramai individu mengalami kerugian yang besar. Ada di antara mereka yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribuan ringgit. Akibatnya mereka terpaksa menanggung hutang keliling pinggang dek terlalu taksub ingin menjadi kaya dalam masa singkat. Sebagai rekod, pelaburan yang paling popular dikalangan masyarakat kita ialah pelaburan dalam internet . Dalam hal ini seseorang individu yang melabur hanya perlu membuat pelaburan sahaja dan akan menerima kadar untung setiap minggu. Di sinilah silapnya kita sebagai makhluk Tuhan yang sempurna. Allah S.W.T telah mengurniakan hamba-hambanya dengan akal fikiran yang sempurna. Tetapi sayangnya kita tidak bijak dalam menggunakkan kurniaan tersebut. Sebaliknya kita terdorong oleh nafsu yang tidak mempunyai batasannya. Nah!!! akhirnya kita yang merana kerana kita tewas dengan nafsu kita sendiri.
Seperkara yang amat membimbangkan ialah mengenai keupayaan kita dalam menangkis dakyah-dakyah fenomena kaya segera ini. Rasanya sudah sampai masa dan ketikanya umat Islam kembali kepada ajaran Islam bermula dari akar umbinya. Sekiranya kita dapat menterjemah ajaran Islam ke dalam kehidupan seharian amat mustahil kita akan terjebak ke dalam kancah seperti ini. Harus diingat Islam amat terkenal dengan corak sederhana dalam semua perkara. Semua ini amat bersesuaian dengan saranan “ ISLAM IS THE WAY OF LIFE ” . Islam tidak pernah melarang umatnya untuk maju, berdaya saing dan mengumpul kekayaan dalam apa jua bidang. Apa yang penting umat Islam mesti mengikut cara yang halal dan suci dalam mengumpul apa jua kekayaan .
Umat Islam seharusnya sedar bahawa tiada kekayaan yang akan datang bergolek dengan sendirinya tanpa disusuli dengan daya usaha yang gigih. Kita seharusnya bijak dalam menongkah arus cabaran dunia yang menuntut kita untuk peka, kuat dan mampan dalam menangani semua fenomena kaya segera yang dicetuskan oleh pihak – pihak tertentu . Ketelusan kita didalam hal ini sebenarnya akan mencerminkan di mana sebenarnya kekuatan akhlak, akidah dan pegangan agama Islam kita.
Sekadar untuk renungan kita bersama;
Kuat rumah kerana tiangnya
Kuat manusia kerana agamanya
Kuat agama kerana umatnya
Kuat Negara kerana rakyatnya
No comments:
Post a Comment